Assalamualaikum,
Sebelum apa-apa, InsyaAllah saya akan cuba menggunakan sepenuhnya penggunaan bahasa melayu untuk entry ini. Kerana saya sudah mula cemburu membaca entri-entri yang menggunakan bahasa melayu sepenuhnya.
Bismillahirrahmanirrahim...
Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Pentadbir Sekalian Alam. Pagi ini, perkara pertama saya perasan ketika saya bangun tepat jam 5.30pagi mendahului jam penggera yang telah saya setkan di telefon genggam saya.... adalah perubahan kepada suara saya. Kesimpulannya, suara saya romantika. Serak-serak basah dan manja. (Maaf, saya memang jenis cepat perasan)
Semalam, saya terperangkap di dalam pejabat dek kerana hujan sangat lebat di luar. Di mana, jika dikira dari sudut kebijaksaan otak untuk berfikir, amatlah tidak logika jika saya meredahi hujan sebegitu rupa wa'ima saya menggunakan khidmat payung sekalipun. Kerana anginnya sangat kencang beserta kilat sabung menyabung. Jadi, sebagai insan yang dikurniakan satu organ bernama OTAK oleh Maha Pencipta, saya amik keputusan rasmi untuk menunggu sehingga hujan reda atau sekurang-kurangnya tiada lagi cas-cas elektrik memancar dari celah-celah awan.
Tepat jam 6.00pm, hujan mulai reda. Keputusan tangkas diambil untuk mempersiapkan diri bersedia untuk pulang ke rumah. Ya, keputusan saya tepat kerana hujan hanya gerimis. Jadi memadailah saya ditemani payung kuning sumbangan MAA Assurance itu untuk menapak ke tempat letak kenderaan.
Namun, tidak semua keputusan kita berbaloi. Tapi DIA lebih mengetahui. Saya sekali lagi terperangkap dalam kenderaan dek kesesakan lalu lintas. Oh, itu tidak menjadi masalah bagi saya. Cuma yang menjadi kegusaran ketika itu ialah meter minyak saya yang dah melepasi sempadan E. Yakni, bawah dari palang. Lampu amaran sudah berkelip-kelip. Saya lebih harus berwaspada.
Dalam hati? Zikrullah dan doa menjadi peneman. Semoga saya selamat sampai di baiti dengan baik. Dan membuatkan saya terfikir, begitu hipokritnya insan bergelar manusia. Mengingati ALLAH di saat-saat genting. Tapi bila gembira, jarang-jarang sekali. Oh, saya tidak kata semua, hanya segelintir. Sebagai peringatan untuk kita, tidak salah kan?
Alhamdulillah, walapun perjalanan yang hanya sejengkal itu sahaja... mengambil masa selama 40minit untuk saya sampai ke rumah. Walhal, jika dikira jangkamasa perjalanan biasa hanya mengambil kira-kira 7-10minit sahaja. Tidak mengapalah, Hujan Rahmat.
Malam itu, tekak berasa kurang selesa. Jadi untuk makan juga saya memerlukan sesuatu yang lembut serta tidak perlu dikunyah tetapi dapat ditelan dengan selesa. Setelah berkira-kira seorang diri di dapur, saya membuat keputusan sekali lagi untuk membuat juadah bubur putih. Makanan yang amat enak ketika keadaan tekak tidak sihat. Mahupun ketika badan berasa kebah tetapi memerlukan makanan yang baik untuk terus berfungsi.
Jadi menunya, bubur nasi putih, telur sambal, telur masin dan ikan bilis bersama bawang. Oh ya, kicap. Sebenarnya sudah lama saya inginkan untuk makan bubur. Saya penggemar bubur. Apatah lagi bubur lambuk. Tetapi hanya masakan sendiri, keluarga atau yang saya kenali. Sejak akhir-akhir ini, saya amat cerewet bab makan dan tukang masak.
.Menu malam tadi. Usai masak, kami makan. Mama juga kurang sihat kerana demam. Abah dan adik seperti biasa, makan sahaja apa sahaja yang saya masak. Semoga suatu hari nanti saya juga bakal memiliki keluarga sendiri yang tidak cerewet untuk makan apa sahaja yang saya masak. InsyaAllah.
Usai makan, mengemas apa yang patut. Ya, saya membersihkan apa yang patut. Mama amat cerewet tentang kebersihan terutama dapur,bilik air, bilik dan ruang tamu (semua lah kan?) Oleh yang demikian, saya juga terikut. Walau kadang-kadang kondisi bilik ada kalanya seperti kapal dilambung ombak. Oh, itu hanya masa-masa kritikal sahaja. Saya ulangi, masa kritikal.
Setelah mengemas, saya terus ke bilik. Menggunakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar saya seketika dan jam 10.30pm saya masuk tidur. Sekarang ini, saya lebih menghargai waktu tidur saya.
Baiklah, setakat ini sahaja. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Tepat jam 1, saya akan berjumpa dengan Cik Nurul. Untuk perancangan hari AHAD ini.
Sebenarnya, emosi saya pagi ini agak kurang stabil. EMO. Tetapi Alhamdulillah beransur baik.
Hari ini hari Jumaat, mari kita banyak-banyakkan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.
Jumpa lagi. Jaga diri.
Wasalam.